Khamis, 20 Oktober 2016

Perjalanan Kehidupanku

Khadijah Wahari
20/10/16

Dilahirkan pada satu tarikh yang cantik iaitu ada 9779 menjadikan saya 37 tahun kini. Satu perjalanan kehidupan yang tidak telalu panjang namun tidak juga terlalu pendek untuk di nafikan. Dilahirkan di sebuah pekan kecil di Muar Johor, melalui kehidupan cara kampung memang menyeronokan. 


Tidak sehebat kehidupan remaja kini yang maju kehadapan di dalam era dunia tanpa sempadan, membesar pada era 80'an ternyata mempunyai nostalgianya yang tersendiri. Tidak semua tersedia menuntut saya lebih berdikari dan kreatif. Tidak dibesarkan pada zaman 'picit-picit' menjadikan saya banyak berlari, memanjat malahan menangkap ikan di parit pun bukan sesuatu yang asing untuk saya. Kehidupan kanak-kanak saya ternyata satu fasa kehidupan yang menyeronokan hanya kadang-kadang disulami leteran dan rotan, biasalah tu.


Walaupun menjalani kehidupan yang lasak dan penuh aktiviti fizikal namun sukan bukanlah perkara yang saya gemari. Bermain bola jaring pun lebih di bangku simpanan. Jika merentas desa sasaran saya cukup sekadar sampai ke garisan penamat tanpa pengsan. Segala suka duka kisah persekolahan diakhiri dengan keputusan SPM aliran sains yang sederhana, yang melayakkan saya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS).


Dari lahir hingga peringkat matrix pun saya di bandar kecil ini namun Universiti yang saya jejaki berada di seberang laut bumi semenanjung. Tetapi jangan terkejut ia memang pilihan saya. UMS ialah pilihan kedua saya dalam borang UPU, pilihan pertama saya merupakan UNIMAS. Bumi borneo ini memang benar-benar ingin saya jejaki. Alhamdulillah hasrat saya di kabulkan.


Belajar di kampus induk UMS terletak di Kota Kinabalu, merupakan kampus yang cantik di tepi laut apatah lagi saya merupakan pelajar ambilan pertama yang menggunakan kampus baru ini, ambilan sebelumnya hanya menggunakan bangunan milik organisasi lain.


Tetapi perlu diingat KK pada ketika itu bukan seperti yang sekarang, jalanraya nya lengang, teringat seorang kawan saya sering menari-nari setiap kali melintas, menunjukkan betapa kosongnya jalan. Kenderaan pesendirian kebanyakannya pacuan empat roda, manakala pengangkutan awam nya hanyalah bas-bas mini lama tidak ber aircon dan sentiasa dipasangkan lagu dangdut atau muzik tekno yang kuat dan berdentam dentum. Pasaraya tiada yang semegah One Borneo, Centre Point sudah dikira paling mewah. Namun bertapa saya rindu saat itu tidak dapat saya gambarkan. 


Menamatkan pelajaran dalam bidang Sains Sekitaran pada zaman kemelesetan, pulang kesemenanjung mengambil masa hingga satu setengah tahun untuk mendapatkan pekerjaan tetap sebagai pegawai kimia di sebuah syarikat swasta. Tidak lama selepas saya kehilangan bapa tersayang. Pekerjaan ini sangat menarik, bagus untuk jadi pandai tapi bukan untuk jadi kaya. Namun tinggal di Melaka pada ketika itu dengan gaji RM 1400 pun membolehkan saya menyewa sebuah rumah teres dan membeli kereta kelisa dengan nombor flat ditempah, J** 9779 cewah, ia tidak membuat saya bangga tapi buat saya gembira.


Tiga tahun saja di sana sebelum saya mengakhiri zaman bujang saya dengan pasangan hidup seorang Abang Bomba I love You, seterusnya terpaksa meletakkan jawatan dan mengikutnya berpindah ke Sabah. Ternyata kisah saya belum berakhir di bumi Borneo ini.


Di sini dunia pekerjaan saya berbeza, dari pekerjaan yang sendiri-sendiri di ruang lingkup makmal kimia, saya melangkah ke bidang pendidikan, menjadi pensyarah di sebuah kolej kesihatan. Mempunyai rakan kerja yang ramai dan beranika ragam, dari yang profesional, yang mengembirakan hingga satu dua yang menjengkelkan. Tetapi bagi saya itu warna warni alam pekerjaan, di mana pun sama sahaja, manusia punya ciri yang berbeza.


Itu baru hal rakan sekerja belum lagi pelajarnya, yang sopan, yang cerdik, yang malas, yang rajin, yang kreatif malah yang misteri pun ada. Manakan tidak misterinya dari 14 minggu jumlah kelas, yang dia hadir mungkin dua minggu sahaja. Jujur saya sayangkan mereka semua walaupun ada sebahagiannya buat saya kecewa. Tetapi bukanlah berkaitan hal peribadi, hanya hal pelajaran saja.


Sembilan tahun di Tanah Sabah ini mematangkan saya, di sini saya pelajari hampir segalanya tentang kehidupan. bagaimana menjadi seorang isteri, bagaimana menjadi ibu kepada empat putera, bagaimana rasanya kehilangan ibu yang tercinta, bagaimana memiliki rakan sekerja yang bermacam-macam personalitinya, bagaimana berada di tengah masyarakat yang kepelbagaian etniknya berpuluh-puluh banyaknya, namun syukur ia sememangnya ilmu yang berharga dan tidak dapat di beli di mana-mana.


Pada akhir tahun 2014 abang bomba saya sekali lagi di arahkan berpindah ke tempat baru, Kemaman Terengganu. Negeri molek orangnya pun baik-baik, insyaAllah. Di sini saya tidak lagi bekerja, hanya surirumah sepenuh masa, namun masih berharap ilmu dan pengalaman yang saya perolehi sepanjang 37 tahun ini dapat saya kongsi serta memberi manfaat seterusnya menjadi saham akhirat saya nanti. 

Semoga kehidupan yang bakal saya lalui selepas ini lebih bererti dan sentiasa dirahmati hingga ke suatu saat ia terhenti. Inilah kisah pejalanan  hidup Khadijah binti Wahari.


Berminat Dengan Produk Shaklee
Hubungi Saya,

Khadijah, 019-338 2335
Shaklee Independant Distributor
Penghantaran keseluruh Malaysia.
COD Chukai.